Seorang lagi Nabi Allah yang diceritakan dari kecil di
dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada kaum Bani Israil dengan kitab
Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi Isa disebut dengan empat
panggilan iaitu Isa,Isa putera Mariam, putera
Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang sangat dimuliakan Allah. Dia
memilihnya di atas semua perempuan di semua alam. Firman-Nya, "Dan ketika
malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah memilih kamu, dan membersihkan
kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa, telah menempuh satu ujian yang
amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk melahirkan seorang Nabi dengan
tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa merupakan suatu mukjizat kerana
dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di dalam al-Qur'an. Di sini,
ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada Mariam atas perintah Allah.
Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan tanpa cacat. Kemunculan malaikat
membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa
(takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata,
'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi
kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain, diceritakan bahawa malaikat yang
datang itu telah memberi nama kepada putera yang bakal dilahirkan. Nama itu
diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi terhormat di dunia dan akhirat
sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya berbunyi:
"Wahai Mariam,
Allah menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya,
yang namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat,
daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku
akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan
bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah) berkata,
'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan supaya Kami
membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan daripada Kami;
ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera Mariam lebih enam ratus tahun
sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat Nabi Isa dan ibunya satu ayat
(tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan bahawa Nabi Isa adalah seperti
Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan bapa. Kesamaan mereka berdua
adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada tanah (3:59). Itu menunjukkan
mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi dan juga seorang Rasul.
Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah daripada rasul-rasul
lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia menaikkan darjat, dan
bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta mengukuhkannya dengan Roh
Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul
itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada
yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan
Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan
dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia dilarang oleh Allah untuk
membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami
percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang
diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak,
dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi
daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara
mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat membeza-bezakan Nabi atau Rasul dapat dilihat
pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh sesetengah pihak sebagai Tuhan
atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap macam Tuhan, yang berhak membuat
hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang Nabi baginda diberi sebuah
Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya untuk menjadi pegangan Bani
Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah dengan mentaati Injil,
baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dua firman Allah
menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus, menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam,
dengan mengesahkan Taurat yang sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di
dalamnya petunjuk dan cahaya," (5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya
mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam Injil (dan Taurat) ialah berita
mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa Arab, atau ummiy (7:157), dan janji dikurniakan
Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di jalan Allah (9:111). Janji itu juga
didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus, manusia sedang berselisih dalam
hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk memperjelaskan apa yang diperselisihkan.
Firman Allah:
"dia (Isa) berkata,
'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan
kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu
takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu tentang kedatangan seorang
rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji. Ayat yang mengisahkannya
berbunyi:
"Wahai Bani Israil,
sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum
aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas
aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul yang lain, baginda mempunyai
pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak setia atau yang menentang.
Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah dan kepadanya. Mereka
adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku
mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku';
mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'"
(5:111)
Pengikut-pengikut yang setia pula menjadi
penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;
kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'"
(3:52)
Begitu juga bagi pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi
lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi penolong-penolong Allah, untuk
melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman Allah:
"Wahai orang-orang
yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera
Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami
akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun, pengikut-pengikut Nabi Isa yang
setia memerlukan bukti selanjut untuk megesahkan kebenarannya dan supaya hati
mereka menjadi tenteram. Untuk itu mereka memohon sebuah meja hidangan dari
langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera
Mariam, bolehkah Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan
dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu
takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami
menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya
kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah
antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon kepada Allah,
"Ya Allah,
Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang
akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami,
dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau
yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan permintaannya. Lantas, meja hidangan
yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama
sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran yang luar biasa dan meja
hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa mukjizat lain. Ayat
berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah
berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke
atas ibu kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci),
untuk berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan setelah
dewasa ..... dan apabila kamu mencipta daripada tanah liat, dengan izin-Ku,
yang seperti bentuk burung, dan kamu menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia
seekor burung, dengan izin-Ku, dan kamu menyembuhkan orang
buta, dan orang sakit kusta, dengan izin-Ku, dan kamu
mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu
orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan
sihir yang nyata.'" (5:110)
Walaupun Nabi Muhammad hanya diberi satu mukjizat,
manusia ditegah daripada berkata bahawa Nabi Isa adalah lebih mulia daripada
Nabi Muhammad. Kerana, seperti yang sudah maklum, amalan membeza-beza para Nabi
dan Rasul dilarang Allah. (Sila rujuk Tidak Mempercayai Mukjizat Nabi?)
Wafat
Tidak seperti kepercayaan sesetengah orang iaitu Nabi
Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik ke langit. Sebenarnya, Nabi
Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib. Baginda telah wafat selepas
peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat lain yang tidak diceritakan di
dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah melarikan diri dari tempat
baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan baginda telah wafat di bumi
terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah
berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan
kamu kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak
percaya .....'" (3:55)
"Dan aku (Isa) seorang
saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian daripada kaum Bani Israil
mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib. Allah mengatakan yang
sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan sahaja. Firman-Nya:
"ucapan mereka,
'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka
tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang
ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar
dalam keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali
mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Telah wujud lagi kepercayaan terhadap Nabi Isa yang
tidak disahkan Allah di dalam al-Qur'an, yaitu baginda akan muncul lagi di bumi
buat kali kedua. Itu tidak benar. (Sila rujuk artikel Menanya
Ustaz: kedatangan Imam Mahadi & Nabi Isa dan Imam Mahadi di ruangan Soalan Lazim. Terima
kasih.)
Terpesong
Setelah Isa wafat, beberapa perkara telah berlaku.
Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut baginda telah menubuhkan sistem
berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama dalam agama. Sistem itu tidak
dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah
(sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk
mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka bersetuju untuk mengangkat
Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin kerana kelahiran yang luar
biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat demikian telah terpesong
dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah
orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia
ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang
Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada
mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka.
Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah didatangkan Allah untuk menunjukkan
kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya adalah pada amalan memakan makanan,
berbunyi:
"Al-Masih, putera
Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya
seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana
Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana
mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan makanan. Tetapi Tuhan tidak
makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah "pintu kecil" untuk
mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi. Tuhan tidak ada pintu tersebut
seperti yang terdapat di bahagian belakang badan manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu disampaikan kepada orang-orang
yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau anak-Nya, tentu mereka akan berpaling
juga dan tetap dengan kepercayaan mereka. Begitulah manusia dengan kepercayaan
agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu sungguh berat di sisi Allah
sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda
akan ditanya sama ada baginda telah menyatakan bahawa baginda dan
ibunya adalah tuhan-tuhan selain daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera
Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai
tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau
sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya.
Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di
dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung lagi:
"Aku hanya
mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke
atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan ditanya di akhirat atas
sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai sambutan kaumnya
terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai
Pemeliharaku, sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang
tidak dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada hari ini. Ajaran al-Qur'an
tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua kembali kepada ajaran al-Qur'an.
Bagikan
Kisah NABI ISA AS
4/
5
Oleh
rudijaya.com